Memakai Telekung lycra ; Sah atau Batal solat wanita
Soalan :
Apakah hukum memakai kain telekung lycra semasa solat? Adakah benar tidak sah solat dengan memakainya kerana nampak susuk badan?
Jawapan :
بسم الله الرحمن الرحيم
.
TELEKUNG BUKAN SYARAT SAH SOLAT
Selalu kita sebutkan, memakai telekung bukankah suatu
kewajipan. Syarat sah solat itu ialah menutup aurat, bukan memakai
telekung solat. Pakaian untuk solat tidak semestinya berwarna putih,
tidak semestinya kosong tanpa corak. Jika pakaian harian kita sudah
bersih, cukup syarat menutup aurat, longgar, kita boleh solat dengan
pakaian harian itu.
Memakai telekung bukan syarat sah, tetapi kerana kebiasaan
dan keselesaan kita, walaupun pada asalnya supaya aurat lebih tertutup
dengan sempurna. Mungkin juga kerana pakaian harian ataupun pakaian
kerja kita tidak cukup syarat menutup aurat, makanya, apabila hendak
solat, kita memang mesti memakai telekung untuk menutup aurat yang masih
tidak lengkap tertutup.
Sebenarnya, aurat dalam solat dan aurat di luar solat
(apabila ada lelaki ajnabi/bukan mahram) sama sahaja. Sama perlu ditutup
sempurna, sama batas auratnya. Bahkan ada mazhab yang mengatakan aurat
dalam solat semasa tiada lelaki ajnabi lebih ringan berbanding aurat di
luar solat. Bagi mazhab Abu Hanifah, kaki (ظهر القدم) boleh dibuka
apabila solat semasa ketiadaan lelaki ajnabi.
PAKAIAN KETAT ATAU MENAMPAKKAN SUSUK BADAN SEMASA SOLAT
Persoalan dalam hal ini sebenarnya ialah, apa hukum solat
dengan memakai pakaian yang ketat/menampakkan susuk badan, sedangkan
pakaian itu memang tebal tidak menampakkan kulit, dan sudah menutup
bahagian aurat yang perlu ditutup?
Para ulama' mengatakan solat itu SAH, tetapi MAKRUH, dan
jika ia dipakai semasa solat yang dapat dilihat oleh lelaki ajnabi,
perbuatan itu BERDOSA.
Antara lain :
Al-Syeikh Sayyid Sabiq dalam Fiqh Sunnah mengatakan :
"Wajib memakai pakaian yang menutup aurat, walaupun pakaian
itu ketat menampakkan bentuk aurat. Sekiranya pakaian itu nipis
sehingga nampak putih ataupun merahnya kulit, pakaian itu tidak boleh
dipakai dalam solat."
Al-Syeikh Saleh al-Fawzan memfatwakan sahnya solat wanita
yang memakai pakaian ketat yang menutup seluruh bahagian auratnya, dalam
masa yang sama, berdosa memakai pakaian begitu.
Beliau mengatakan :
"Pakaian ketat yang menyerlahkan bentuk badan wanita tidak
boleh dipakai. Pakaian ketat tidak boleh dipakai baik oleh lelaki
mahupun wanita, lebih-lebih lagi kaum wanita, kerana lebih banyak fitnah
ada pada mereka.
Adapun hukum solat dengan memakai pakaian ketat, sekiranya
ia menutupi bahagian aurat, maka solatnya SAH kerana adanya penutup
aurat, namun berdosa orang yang solat dengan memakai pakaian ketat,
kerana dia (seolah-olah) melanggar satu daripada peraturan solat dengan
sebab ketatnya pakaian yang dipakainya itu. Ini dari satu sudut.
Dari sudut kedua pula, ia menarik pandangan, lebih-lebih lagi kaum wanita. Maka wajib bagi wanita memakai pakaian yang longgar sempurna menutup auratnya :
tidak menampakkan bentuk badannya, tidak menarik pandangan kepadanya, tidak nipis ataupun jarang, sebaliknya pakaian itu hendaklah menutup wanita itu dengan sempurna."
KESIMPULAN : HUKUM TELEKUNG LYCRA?
- Sekiranya telekung lycra dipakai menyerlahkan susuk badan, maka hukumnya sama seperti pakaian ketat. Sah solat, tetapi makruh. Berdosa jika dipakai di hadapan lelaki ajnabi.
- Sekiranya pakaian harian yang dipakai itu tebal, sehingga memakai telekung lycra pun tidak menampakkan susuk badan kerana sudah dilapisi pakaian tebal di dalamnya, ia tidak dikira sebagai ketat.
Pastikan pakaian yang kita pakai tidak menyerlahkan susuk
badan, tidak kira apa jenis pun nama kain dan potongannya. Baik di dalam
solat, mahupun di luar solat, apabila dapat dilihat oleh lelaki yang
bukan mahram.
والله اعلم
Rujukan ringkas :
Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah
Abu Malik Kamal, Sahih Fiqh Sunnah
http://islamqa.info/ar/143733
http://islamqa.info/ar/46529
http://ar.m.wikipedia.org/ wiki/قدم
Tulisan oleh :Abu Malik Kamal, Sahih Fiqh Sunnah
http://islamqa.info/ar/143733
http://islamqa.info/ar/46529
http://ar.m.wikipedia.org/
Ustazah Nabilah Hasan
8 November 2014.
No comments:
Post a Comment